JOHOR BAHRU: Seramai 54 pekebun nanas di Johor mengalami kerugian bernilai RM8.41 juta, selepas kawasan tanaman seluas 99.35 hektar terjejas akibat banjir, kata Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Mohd Khairuzamri M Salleh.

Beliau berkata jumlah itu, berdasarkan rekod yang diperoleh sejak 26 Feb sehingga 6 Mac lepas oleh LPNM, yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Katanya dalam tempoh itu juga, sebanyak 3.6 juta pokok nanas melibatkan varieti MD2 dan Josapine telah musnah.

"Daerah paling teruk tanaman nanas musnah ialah Segamat diikuti Kluang, Pontian, Muar dan Tangkak. Paling terbaharu ialah daerah Batu Pahat dan kita sedang mengumpulkan data-data pekebun yang terlibat dan angka ini dijangka akan bertambah.

"Kita percaya daerah Batu Pahat akan merekodkan jumlah paling tinggi kemusnahan, kerana situasi banjir termenung yang berlaku menyebabkan nanas mudah rosak, akibat bakteria bawaan air. Jika air sekadar mengalir nanas tersebut masih lagi boleh selamat lagi," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan amanat kepada kakitangan LPNM di Ibu Pejabat LPNM di sini hari ini.

Mohd Khairuzamri berkata LPNM kini sedang mengambil inisiatif turun ke padang dan melihat sendiri kemusnahan tanaman pekebun nanas di negeri itu, bagi menyampaikan bantuan yang sewajarnya.

"Pemain industri khususnya di peringkat penanaman paling banyak terjejas, akibat kebun mereka dinaiki air sehingga berlaku kerosakan pada tanaman nanas, ada yang sedang berbuah, ada yang baru mula menanam, dan ada juga sedang membesar dalam lingkungan usia enam hingga tujuh bulan.

"Bagaimanapun, LPNM ada tabung bencana untuk mereka yang terkesan dan biasanya bantuan diberikan dalam bentuk harta benda bukan tunai, misalnya gantian benih, baja atau infrastruktur seperti parit, jalan ladang atau bangunan musnah," katanya.

Berdasarkan rekod LPNM, Johor merupakan pengeluar nanas terbesar negara diikuti Sarawak dan Sabah.

Setakat 4 petang tadi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir di Johor merekodkan seramai 37,635 orang, dengan Batu Pahat mencatatkan jumlah teramai iaitu 37,233 orang.

-- BERNAMA