KUALA LUMPUR: Sebanyak 97.1 peratus Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) telah menerima bayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI) bagi banjir gelombang pertama setakat ini.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan tiga negeri yang telah selesai pembayaran BWI gelombang pertama dan kedua ialah Perak (309 KIR), Terengganu (451 KIR) dan Kuala Lumpur (1,175 KIR).

"Bantuan Barangan Keperluan Asas turut diagihkan kepada KIR yang rumah ditenggelami air ketika banjir monsun timur laut (MTL) 2021/2022.

"Kuala Lumpur mencatat peratusan pembayaran sebanyak 94 peratus manakala Melaka telah membuat pembayaran kepada 57.4 peratus daripada KIR terkesan," menurut kenyataan itu.

Laporan Unit Penyelarasan Pelaksanaan bagi bantuan Pembaikan Rumah Maksimum RM5,000 pula menyebut Kelantan telah selesai membuat pembayaran kepada 13 KIR (100 peratus).

Menurut laporan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, terdapat pertambahan dua kejadian tanah runtuh yang direkodkan di Sarawak menjadikan jumlah keseluruhan insiden itu sepanjang MTL 2021/2022 ialah 282.

Kenyataan itu turut memaklumkan tiada pertambahan kejadian cerun runtuh dan jalan runtuh dilaporkan oleh Jabatan Kerja Raya dengan jumlah keseluruhan insiden kekal 47.

-- BERNAMA