TASEK GELUGOR: Ketika mangsa banjir pindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) mencari perlindungan, tetamu tidak diundang seperti ular pula menumpang kediaman selepas habibat asal mereka terjejas.

Setiap kali banjir, penduduk di sekitar Layar Looi, di sini bukan sahaja kerugian ribuan ringgit, malah ancaman keselamatan yang disebabkan haiwan berbisa turut meresahkan mereka.

Rata-rata mangsa banjir yang ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Yooi, di sini berkata, bencana alam itu membawa kebimbangan berganda sehingga ada di antara mereka yang trauma untuk kembali ke rumah.

Mohd Firdaus Mohd Sabri, 32, berkata, antara pengalaman ngeri yang dilalui adalah ketika kaki isterinya yang sedang sarat mengandung dibelit ular sawa.

"Dua tahun yang lalu, waktu itu air baru sedang naik, ular sawa belit kaki isteri saya, itu paling traumalah, mujurlah di selamat. Walaupun kami sudah ubah suai rumah, tapi tetap setiap kali hujan lebat, air naik.

"Kebiasanya selepas banjir, waktu cuci rumah, memang kami akan jumpa ular dan lipan sorok di rumah ," katanya ketika ditemui Astro AWANI di PPS SK Lahar Yooi, di sini pada Ahad.

Begitu juga dengan Rozita Said, 48, yang bimbang dengan ‘kehadiran’ binatang berbisa seperti ular yang sering memasuki rumah penduduk setiap kali banjir.

"Bila balik nanti, kita kena sembur ubat dulu sebelum mengemas, takut dia (binatang berbisa) duduk di situ. Dia suka duduk atas almari.

"Macam banjir 2017, banyak betul ular menyorok sampai kami nak tidur pun kami jadi trauma," ujarnya

Bagi pembuat kek dan roti, Rosli Md Nayan, 47, pula sudah banyak kali binatang berbisa 'menghuni' rumah mereka selepas banjir.

"Bila dah kering, kami alihkan tolong gas, dia (ular) 'terlekat' bawah tong, apa lagi kami terus larilah," katanya.

Apa yang diharapkan mereka hanyalah penyelesaian kepada masalah banjir, yang setiap kali berlaku ketika hujan lebat.

Nur Aminina Adnan, 20, berharap kerajaan akan melebarkan dan mendalam sungai berhampiran di Kampung Tok Dol yang mengelakkan bencana itu berulang pada setiap tahun.

"Kami penat berdepan dengan masalah yang sama setiap tahun, boleh kata empat kali setahun," ujarnya.