TANJUNG DAWAI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah memberi peringatan kepada pemancing dan nelayan pesisir pantai agar berwaspada dan memandang serius aspek keselamatan dalam menghadapi angin Monsun Timur Laut.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak, berkata ini berikutan perairan Kedah bakal menerima tiupan angin lebih kencang dan berterusan dengan kelajuan boleh mencecah sehingga 50 hingga 60 kilometer (km) sejam berserta hujan lebat.

Malah katanya, ombak juga boleh mencapai ketinggian 3 hingga 3.5 meter.

Situasi ini boleh membahayakan para pengusaha bot terutamanya bot-bot pemancing rekreasi, bot tradisional dan bot kaca gentian.

"Orang ramai dinasihatkan mengambil langkah-langkah keselamatan seperti jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca terlebih dahulu, memastikan bot dalam keadaan selamat dan baik dan juga membawa Personal Locator Beacon (PLB) ini dapat membantu dan mempercepatkan bantuan di laut jika berlaku sebarang kecemasan," katanya.

Mengulas lanjut, Noor Azreyanti berkata nelayan perlu memaklumkan kepada persatuan, ahli keluarga atau APMM mengenai destinasi atau lokasi menangkap ikan untuk memudahkan pencarian sekiranya berlaku kecemasan.

Kawasan operasi dan carilamat di bawah tanggungjawab Maritim Kedah adalah seluas 164 batu nautika dari Kuala Sanglang ke Kuala Muda.

Sementara itu, pengusaha bot memancing turut mengambil langkah keselamatan dengan mengikut amaran dikeluarkan Jabatan Metrologi Malaysia (MetMalaysia) supaya tidak turun ke laut untuk tempoh dua hari ini.

"Semua pemancing mesti pakai jaket keselamatan untuk keselamatan kita semua. Memang patutlah pakai  jaket ini serta menjaga SOP.

"Kita bergantung pada keadaan cuaca, kalau kata cuaca tak elok kita tak keluar, kalau cuaca elok kita keluar," kata pengusaha bot pancing, Che Roslan Hashim.