PUTRAJAYA: Aras air sungai di beberapa negeri yang terlibat banjir dilaporkan masih berada di paras amaran dan waspada, menurut Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) hari ini.

Menerusi satu kenyataan, KASA berkata beberapa bacaan aras air di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor mulai turun tetapi masih berada di paras amaran dan waspada.

Di Kelantan, kebanyakan bacaan paras air berada di paras waspada namun Sungai Golok di Jajahan Pasir Mas masih berada di paras bahaya.

"Di Terengganu, Johor, Perak, Melaka dan Sarawak pula keadaan masih lagi terkawal dengan kebanyakan bacaan berada di paras waspada dan amaran.

"Bagi Pahang, aras air beberapa kawasan di Temerloh dan Bera menunjukkan trend menaik dan berada di paras bahaya. Penduduk-penduduk yang berada di lokasi bahaya diminta untuk bersedia dan berpindah jika diarahkan," katanya.

[LAPOR LANGSUNG] Bencana banjir 2021: 17 terkorban akibat banjir di Selangor

Menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), aras waspada merujuk kepada aras air sungai mula meningkat daripada aras normal manakala aras amaran menunjukkan air sungai menghampiri aras banjir dan perlu bersedia untuk membuat perpindahan jika perlu.

Aras bahaya pula menunjukkan yang aras air sungai mula melimpah serta boleh menyebabkan banjir dan perpindahan perlu dilaksanakan jika perlu.

Banjir melanda Lembah Klang sejak Sabtu lepas susulan hujan lebat berterusan menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan manakala ramai pengguna jalan raya terkandas akibat laluan terjejas kerana dinaiki air.

Banjir turut dilaporkan berlaku di Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan serta Perak, manakala Sarawak yang telah mengalami episod banjir pada awal Sept lepas, dijangka mengalami fenomena itu sekali lagi.

Mengenai situasi banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, KASA berkata JPS sedang melakukan kerja mengepam keluar air dari taman itu ke Sungai Klang dan dianggarkan sebanyak 30,000 meter padu air berjaya dikeluarkan sehingga kini.

"Dua unit pintu air berhampiran juga telah dibuka memandangkan paras air Sungai Klang mulai surut," katanya sehingga petang sebahagian kawasan di Taman Sri Muda mulai surut secara berperingkat dan dijangka pulih dalam tempoh 72 jam.

KASA berkata JPS sedang menunggu 11 unit pam tambahan daripada JPS Kelantan, Perlis dan Bahagian Perkhidmatan Mekanikal dan Elektrikal (BPME) Ipoh, Perak yang akan digunakan di lokasi-lokasi banjir genang di sekitar Selangor.