KULIM: Pembangunan projek tanaman durian Musang King di puncak Gunung Inas, Baling, Kedah mungkin dilakukan tanpa pelaksanaan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata, kelulusan EIA untuk setiap projek yang akan dibangunkan di kawasan bukit dan gunung sangat ketat sehinggakan projek pembangunan di paras ketinggian lebih 300 meter dari aras laut tidak dibenarkan sama sekali.

Bagaimanapun, beliau yang melakukan lawatan di puncak Gunung Inas baru-baru ini terkejut apabila mendapati tiada pokok balak di kawasan berkenaan dan percaya sudah berlaku aktiviti penerokaan di kawasan tersebut.

“Saya rasa tiap-tiap ladang, hutan ada EIA… mesti ada EIA, macam mana EIA boleh lepas? Boleh lulus? Dulu kita ada ketetapan ada undang-undang, mana-mana tanah yang melebihi 1,000 kaki dari paras laut tidak boleh tebang dan tidak boleh disentuh.

“Tapi dalam lawatan saya semalam ke puncak, saya melihat sudah tak ada pokok dah, tiada pokok balak dah… pokok biasa ini ada maknanya penerokaan… itu berlaku sampai ke atas, langgar syaratlah… tentu jabatan ada benda (laporan) yang akan dimaklumkan kelak,” kata Muhammad Sanusi.

Dalam pada itu, ditanya sama ada kerajaan negeri akan menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas untuk menyiasat punca sebenar kejadian Banjir di Baling, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya sedang menunggu laporan lengkap daripada agensi terlibat berhubung kejadian tersebut.

Muhammad Sanusi juga optimis setiap agensi terlibat mempunyai kepakaran dalam menganalisa kejadian yang berlaku dan pihaknya akan melihat dan meneliti laporan yang disediakan oleh agensi-agensi terbabit sebelum membuat sebarang kesimpulan.

Dalam pada itu, ketika ditanya siapakah pemilik dan pengusaha ladang durian Musang King di Gunung Inas tersebut, Muhammad Sanusi enggan menjawab dan hanya berdiam diri.

Sebaliknya, beliau memaklumkan projek itu dibangunkan oleh anak syarikat kerajaan negeri Menteri Besar Incorporated (MBI) bersama sebuah pemaju swasta yang enggan didedahkan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis Perletakan Batu Asas Kilang Infineon Technology di Kulim, Kedah pada Khamis.

Dalam kejadian sekitar pukul 4 petang Isnin lepas, banjir dan fenomena kepala air di Baling mengakibatkan tiga nyawa terkorban dan lebih 1,400 penduduk dipindahkan ke tiga pusat pemindahan selain 15 rumah musnah dihanyutkan arus deras.