BALING: Tidak perlu datang ke kawasan bencana semata-mata untuk membuat konten untuk dimuat naik di laman media sosial, tetapi tidak membantu mangsa yang sedang dalam kesusahan.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, mereka tidak tahu tetapi polis ada peruntukan undang-undang yang boleh dikenakan terhadap individu atau kumpulan yang melakukan tindakan tidak bermoral terbabit.

"Kepada mereka-mereka yang mempunyai kepentingan diri tanpa berasa belas ihsan kepada mangsa-mangsa banjir yang sedang dilanda kesusahan, cukup-cukup lah tuan-tuan menyusahkan pihak berkuasa dengan berlegar-legar di kawasan-kawasan yang dilanda musibah ini tanpa sebarang tujuan semata-mata untuk mempopularkan diri dengan mengatakan tuan-tuan telah berada di tempat musibah dan membantu mangsa-mangsa banjir sedangkan tuan-tuan tidak berbuat apa-apa.

"Jadi ingin saya tegaskan kita akan menghalang sama sekali pihak-pihak yang mengambil kesempatan seperti ini dan kita akan mengambil tindakan tegas sekiranya mereka mengingkari arahan polis. Kita boleh mengambil tindakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam dari menjalankan tugas," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Kampung Iboi, Kupang, hari ini.

Shamsudin mendakwa, pihaknya ada menerima rungutan daripada mangsa dan pasukan bertugas bahawa terdapat individu yang datang dan merakam serta mengambil gambar untuk disebarkan di media sosial bagi meraih popolariti.

Malah, katanya ada di antara mereka yang melakukan perbuatan menyebarkan berita palsu daripada gambar diambil tanpa mengetahui kesahihannya.

Sementara itu, beliau memaklumkan, setakat petang tadi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Baling menerima lebih 30 permohonan daripada badan bukan kerajaan (NGO), perseorangan dan agensi swasta untuk membantu dalam kerja pembersihan rumah penduduk selain membantu menyalurkan sumbangan kepada penduduk yang terjejas dalam kepala air di 12 kampung yang terjejas.

Pihaknya akan memberi kebenaran kepada mereka yang mempunyai surat untuk memasuki kawasan bencana.