Diharapkan peringkat paling teruk musim tengkujuh kali ini sudah reda, dan usaha untuk memberi bantuan kepada beratus-ribu mangsa boleh dijalankan dengan lebih berkesan serta teratur, insyaa Allah
Antara kos-kos yang berkemungkinan sangat besar untuk ditanggung oleh mangsa banjir adalah untuk kenderaan mereka yang ditenggelami air. Jika sudah tenggelam sepenuhnya kemungkinan besar ia perlu diishtiharkan sebagai ‘total loss’, tetapi bagi kereta-kereta yang masih boleh dibaiki, ada berita menyenangkan untuk pemilik-pemilik Honda.
Honda Malaysia telah mengumumkan bahawa semua kos alat ganti tulen untuk kereta-kereta jenama tersebut yang terjejas oleh banjir akan diberikan diskaun 50%. Pemilik hanya perlu membawa laporan polis mengenai kerosakan kenderaan tersebut beserta nota lindung (cover note) ke pusat servis Honda di mana kereta tersebut akan diperiksa dan dibaiki setelah banjir surut.
Kemudahan dan diskaun ini bermula dari sekarang dan sah sehingga 31 Mac 2015.
Pemilik juga boleh menghubungi talian 1-800-88-2020 untuk maklumat lanjut berkenaan program bantuan mangsa banjir pemilik Honda ini.