SEPANG: Kerugian keseluruhan akibat banjir besar yang melanda beberapa negeri hujung tahun lepas dianggarkan antara RM5.3 bilion hingga RM6.5 bilion.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, daripada jumlah itu, data daripada Kementerian Kerja Raya menunjukkan kerosakan infrastruktur awam merekodkan kerugian mencecah RM2 bilion.

Manakala, kerosakan kediaman pula merekodkan kerugian antara RM1.2 hingga RM1.4 bilion diikuti kenderaan RM1.3 bilion, pembuatan RM800 juta hingga RM1 bilion, premis perniagaan RM600 juta dan pertanian RM49.9 juta.

“Yang terlibat banjir ini 50 daerah. Kita sekarang ada 160 daerah di seluruh negara. Jadi maknanya yang terkesan dengan banjir ialah 50 daerah.

BACA: KPLB terima lebih 2,000 permohonan baik pulih, bina semula rumah terjejas banjir

BACA: Kerja pembersihan pascabanjir capai 98.17 peratus siap - NADMA

“Ini bermakna satu pertiga daerah di Malaysia terkesan. Ini merupakan anggaran dan angkanya akan dimurnikan.

“Infrastruktur awam kita ada angka yang jelas yang datang daripada Jabatan Kerja Raya. Jadi daripada RM5.3 bilion itu, RM2 bilion adalah kerosakan kepada infrastruktur awam. Yang lain-lain ialah rumah, perniagaan, pertanian, ini antara kerosakan utama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pelaksanaan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/ BA) 2022 di sini pada Isnin yang turut dihadiri Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Tambah Mustapa, setakat ini kerja-kerja pembaikan untuk infrastruktur awam telah dimulakan.


Lagu Kemanusiaan | 'Kita Di Sisimu' galak bantuan banjir berterusan

“Untuk infrastruktur awam, telah pun mula kerja-kerja pembaikan. Untuk rumah rosak dan rumah yang ‘total lost’, hilang terus, sudah pun dimulakan proses untuk membina semula rumah yang tak boleh dipakai langsung.

“Bagi perniagaan, kita sediakan pinjaman tanpa faedah dan perniaagaan ini perlu dimulakan. Peniaga sudah pasti ada sedikit sebanyak kerosakan. Oleh itu, yang utama kerajaan sediakan pinjaman tanpa faedah,” ujarnya.

BACA: Pakej bantuan banjir RM1.4 bilion tidak mencukupi sokong isi rumah terjejas - MQ Research

Sementara itu, beliau memaklumkan data muktamad Banci Malaysia 2020 akan dikeluarkan dalam bentuk laporan secara berperingkat bermula dari Februari 2022 sehingga 2024 dengan yang pertama diterbitkan ialah Penemuan Awalan Banci Malaysia 2020.

“Seterusnya, dijangka lebih daripada 1,000 laporan Banci Malaysia 2020 merangkumi 16 negeri, 160 daerah, 222 parlimen dan 600 Dewan Undangan Negeri akan diterbitkan secara berperingkat.

“Selaras dengan pengukuhan Sistem Statistik Negara, Majlis Statistik dan Data Negara (MSDN) telah ditubuhkan bagi menentukan hala tuju sistem statistik negara di samping berperanan sebagai platform penyelarasan maklumat peringkat negara.

BACA: Banci 2020 tamat, 32.3 juta penduduk Malaysia dibanci

“Selain itu, perkembangan fenomena data raya dan ketersediaan teknologi telah mendorong pertumbuhan inovasi baharu dan membuka ruang agensi kerajaan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat,” ujarnya.

Jelas beliau, penubuhan Pusat Analitik Data Raya Negara (NBDAC) adalah kritikal bagi menyokong hasrat kerajaan dalam memastikan setiap perancangan dan pembuatan keputusan berlandaskan analitik data.