BANDAR BAHARU: Bilangan mangsa banjir kilat yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Relau mencatatkan pertambahan kepada 35 orang mangsa daripada 11 keluarga, berbanding semalam 14 orang daripada tiga keluarga.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin, berkata, mangsa terdiri daripada enam keluarga dari Kampung 300 Kaki, empat keluarga dari Kampung Kilang Batu dan satu keluarga dari Kampung di Mukim Relau.

“Jumlah itu membabitkan lima lelaki dewasa, 10 wanita dewasa, 14 kanak-kanak, dua bayi, dan empat warga emas.

"Paras air meningkat sehingga mencecah 0.5 meter menyebabkan kesemua mangsa terpaksa dipindahkan ke PPS berkenaan.

"Setakat ini anggota APM masih melakukan pemantauan di kawasan berisiko banjir serta memantau paras air sungai selain membantu memindahkan mangsa ke PPS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian semalam, 15 rumah membabitkan tiga kampung di tiga mukim di Bandar Baharu terjejas akibat banjir kilat susulan hujan lebat melebihi dua jam bermula jam 3 petang.

Antara kampung terbabit adalah Kampung 300 Kaki, Kampung Paya Semambung dan Kampung Kilang Batu di Mukim Relau, Kampung Tengah di Mukim Serdang dan Kampung Balai Lama di Mukim Sungai Kechil Hilir.