KUALA LANGAT: Kejadian ban pecah di Kampung Rancangan Tanah Baharu (RTB) Bukit Changgang di sini, hari ini menimbulkan ketakutan kepada penduduk sekiranya berlaku sekali lagi banjir.

Situasi semakin membimbangkan memandangkan fenomena air pasang besar dijangka berlaku di Kuala Langat, Selangor sehingga Rabu ini.

Berdasarkan tinjauan Astro AWANI, sejak kejadian ban pecah kira-kira 10.10 pagi tadi, penduduk terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan meletakkan batang kelapa sawit dan bongkah batu bagi menghalang kemasukan air Sungai Langat ke kawasan kampung.

Menurut polis bantuan, Muhd Izwan Muslimin, 31, langkah itu diambil oleh penduduk untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Bagi saya langkah ini untuk sementara. Ia membantu kita memperlahankan keadaan air daripada kita nak tunggu daripada pihak JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran).

“Jadi kita terpaksa membuat inisiatif sendiri untuk letak batang kelapa sawit dan batu bagi menghalang pergerakan air mengalir cepat ke kawasan kampung,” katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Isnin.


Dari kiri Muhd Izwan Muslimin, Hazman Mustaffa Kamal dan Mohd Rizal Abu Bakar mengakui, kejadian ban pecah menimbulkan ketakutan kepada penduduk Kampung Rancangan Tanah Baharu (RTB) Bukit Changgang. – Gambar Astro AWANI

[LAPOR LANGSUNG] MetMalaysia keluar amaran hujan berterusan di beberapa negeri

Dia yang telah menetap di kampung itu sejak 11 tahun lalu berkata, kebanyakan penduduk berasa tertekan dengan keadaan banjir yang berlaku, baru-baru ini.

Sementara itu, peniaga Mohd Rizal Abu Bakar, 38, mengakui fobia setiap kali hujan turun tanpa henti.

Justeru, dia berharap pihak berkaitan boleh mengambil langkah segera untuk mengatasi masalah banjir di kawasan tersebut termasuk membina struktur ban yang lebih kukuh.

“Kita khuatir keadaan seperti ini dengan ban pecah. Kita sebagai penduduk di sini, penat (mencuci rumah) pun tak dapat nak hilang lagi.

“Macam saya sebagai peniaga, barang-barang rumah banyak yang kita tak kemas lagi. Kerosakan memang tak payah cakap sebab ini (banjir) paling lama lebih kurang lapan hari,” tambahnya.

Selain itu, juruteknik, Hazman Mustaffa Kamal, 30, berkata dia terpaksa bergegas pulang dari tempat kerja untuk menyelamatkan dokumen penting.

“Saya tengah kerja lepas itu ada kawan hantar video ban pecah, jadi saya balik sekejap ambil dokumen di rumah.

“Kami kalau hujan lebat sudah mula berjaga-jaga. Bila ban pecah ini makin risau. Sebab tadi kami sudah bersiap sedia kalau apa-apa jadi.

“Bila macam ini, ramai penduduk yang sudah siap kemas barang-barang,” katanya.

Dalam kejadian sekitar pukul10.10 pagi tadi, air dari Sungai Langat melimpah memasuki kawasan ladang
kelapa sawit berdekatan RTB Kampung Bukit Changgang susulan ban pecah.