GUA MUSANG: Lebih 30 peniaga di Bandar Lama Gua Musang di sini, adalah antara lebih 1,058 mangsa yang terjejas di daerah ini, selepas kawasan mereka dinaiki air, sejak semalam.

Peniaga barangan runcit, AK Lim, 68, berkata, hujan berterusan menyebabkan longkang dan sungai tidak dapat menampung jumlah air yang banyak sehingga melimpahi tebing.

Katanya, air naik dengan cepat di permukaan jalan raya sejak pukul 10 pagi tadi.

"Pagi ini air naik laju. Turun pun laju tapi naik semula. Ini adalah kali kedua banjir melanda kawasan ini untuk bulan ini sahaja. Kami peniaga terpaksa menutup kedai untuk jangka masa lama sejak awal bulan ini," katanya di sini, hari ini.

Peniaga perabot, Mohd Rawan Azizul Rahman, berkata kedainya pula dinaiki air kira-kira jam 3 petang.

"Banyak barangan dalam kedai saya rosak disebabkan banjir. Saya terpaksa menanggung kerugian," katanya.


MetMalaysia | Amaran cuaca buruk di Kelantan, Pahang

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir paling ramai di Kelantan adalah di Gua Musang iaitu 1,058 orang yang ditempatkan di lima pusat pemindahan banjir (PPS).

PPS itu adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Chiku 7; SK Limau Kasturi 1; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indra Petra 1; SK Star dan SK Lebir.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd Arifuddin Akif Mohd Noor berkata, pihaknya turut menyelamatkan dua keluarga mangsa banjir yang terkepung akibat banjir di Kampung Aring 2 hari ini.

Menurutnya, mangsa yang merupakan warga emas dan anaknya yang juga orang kelainan upaya (OKU) berjaya diselamatkan dan dibawa ke PPS kampung itu.