Banjir di Johor semakin pulih dengan hanya tiga daerah masih menempatkan 1,024 mangsa daripada 274 keluarga yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan pada petang Ahad.

Tinjauan Astro AWANI di Pontian bagaimanapun mendapati banjir masih belum surut berikutan masalah perparitan di kawasan tersebut.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, perkampungan di Pontian yang terlibat dengan banjir berdekatan dengan pintu masuk air.

Sehubungan itu katanya, penambahan pintu masuk air akan dibuat bagi mengawal pengaliran kadar air sungai dan laut.

"Sungai telah dibuat, kebanyakan sungai-sungai di kawasan banjir telah diluruskan dan didalamkan namun sekarang ni kita ada masalah parit yang menuju ke sungai… kadang-kadang pintu air dikumpulkan dari empat, lima parit ke satu pintu air, jadi di mana pintu air berada kawasan itu banjir.

“Mungkin kita boleh tambah pintu air… saya akan berbincang perkara ini bila saya turun, baru saya tahu ini masalah nya," katanya.

Sementara itu, penduduk yang ditemui mengambil kesempatan membersih dan mencuci rumah masing-masing ketika air surut.

Pada Sabtu, Segamat menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 526 mangsa ditempatkan di tujuh pusat pemindahan diikuti Batu Pahat seramai 220 mangsa.