KUALA LUMPUR: Sebanyak enam negeri iaitu Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka, Johor dan Kelantan masih terjejas akibat bencana banjir sehingga 12 tengah hari tadi membabitkan 14 daerah, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Nadma menerusi kenyataan hari ini memaklumkan 2,914 mangsa daripada 904 keluarga ditempatkan di 31 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri berkenaan.

"Di Johor terdapat pertambahan dua PPS, masing-masing di Ledang dan Tangkak manakala di Perak tiga pertambahan PPS iaitu di Larut, Matang dan Selama,'' menurut kenyataan itu.

Sementara itu, agensi berkenaan memaklumkan Jabatan Pengairan dan Saliran mengeluarkan notis yang menunjukkan empat sungai kini dengan bacaan air berada di paras bahaya yang terdiri daripada Long Jegan, Miri di Sarawak; Rantau Panjang, Pasir Mas di Kelantan; Sungai Melaka di Batu Hampar, Melaka dan di Parit Keliling di Kampung Pasir, Johor Bahru.

Enam sungai pula dilaporkan berada di tahap amaran iaitu Sungai Triang, Bera, Pahang; Long Teru dan Marudi di Miri, Sarawak; Sungai Langat, Bukit Changgang, Kuala Langat; Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR, Kedah dan Cheng, Melaka.

Nadma berkata penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa.

Orang awam diminta merujuk maklumat terkini daripada sumber yang sahih melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook PubliclnfoBanjir dan twitter @JPS InfoBanjir untuk maklumat lebih tepat.

-- BERNAMA