MELAKA TENGAH: Penduduk di Kampung Morten di sini, mendakwa kerosakan di beberapa tempat pada tembok batu di tebing Sungai Melaka menjadi punca air kerap melimpah ke kawasan kediaman mereka.

Situasi itu mengakibatkan perkampungan tradisional Melayu itu lebih kerap dinaiki air berbanding sebelum ini.

Seorang penduduk, Amnah Othman, 63, berkata, meskipun tidak terkesan dengan bencana banjir sehingga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), namun situasi fenomena air pasang ketika ini berbeza berbanding tahun-tahun sudah.

Katanya, adakalanya dalam tempoh sebulan, hampir lima kali perkampungan itu menerima limpahan air Sungai Melaka sehingga memasuki kira-kira 15 daripada 100 buah rumah di kawasan itu.

“Dalam tahun ini saja sudah hampir lima kali (air masuk) yang mana kalau pagi dah naik, tengah malam surut, nanti esok pagi naik balik tinggi sampai masuk dalam rumah kami yang rendah ni.

“Walaupun tak perlu berpindah ke PPS, tetapi kesan lumpur itu penat juga, lebih-lebih lagi ini kawasan
pelancongan dan kami yang berniaga di kawasan kampung ini tak boleh nak berniaga,” katanya ketika ditemui.

[LAPOR LANGSUNG] MetMalaysia keluar amaran hujan berterusan di beberapa negeri

Bagi Jamaludin Md Zain, 64, apa yang diharapkannya ialah pihak berkuasa segera mengambil tindakan sewajarnya memandangkan Kampung Morten ini merupakan kawasan tumpuan pelancong.

Menurut Jamaludin, antara usaha yang patut digerakakan ialah membaik pulih tembok batu dan mendalamkan sungai.

“Tahun lepas 2021 memang kerap (hujan) berbanding tahun-tahun sebelum ini tak kerapa macam ini,” katanya berkongsi cerita.

Terdahulu, Fenomena air laut pasang besar yang melanda Melaka hari ini mengakibatkan beberapa kawasan dinaiki air.

Antara kawasan teruk terjejas ialah kawasan pelancongan di Kampung Morten yang melibatkan lebih 100 rumah termasuk beberapa inap desa.

Kawasan terbabit mula dinaiki air seawal pukul 8 pagi ekoran limpahan air Sungai Melaka melepasi tebing.

Beberapa rumah yang berada di kawasan rendah di kampung berkenaan dinaiki air setinggi 0.4 meter.

Tinjauan di perkampungan mendapati terdapat penduduk menutup laluan bagi mengelak kenderaan memasuki kawasan terbabit.

Kejadian itu berlaku dalam tempoh beberapa jam sebelum surut sektar pukul 12 tengah hari tadi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, JPS negeri, Abdul Hakim Hamzah dalam kenyataannya berkata, pertembungan antara hujan berterusan dan air laut pasang besar mengakibatkan kejadian banjir kilat itu.

Menurutnya, fenomena air laut pasang besar di perairan Melaka dijangka berterusan sehingga esok.