HULU LANGAT: Rasa trauma akibat bencana banjir yang dianggap terburuk pernah berlaku di Hulu Langat tahun lalu belum lagi hilang sepenuhnya, dan kini penduduk sekitar daerah berkenaan diburu kebimbangan kemungkinan tragedi yang sama bakal berulang.

Dengan keadaan hujan lebat yang mula berlaku mutakhir ini kebimbangan mereka itu ada kewajarannya.

Paras air di sungai kawasan tersebut juga menunjukkan kadar kenaikan mendadak sehari dua ini, membuatkan mereka tidak senang duduk memikirkan kebarangkalian terpaksa berdepan dengan ujian seperti tahun lalu.

Lebih malang, ada di kalangan penduduk masih belum lagi selesai membaiki kediaman mereka yang rosak, dan kini terpaksa pula memikirkan persediaan untuk menghadapinya sekali lagi.

Menurut salah seorang penduduk di Batu 18 Kampung Jawa, Hamzah Abdul Wahab, 48, bebanan itu ditambah dengan sebahagian mangsa banjir di kampung berkenaan yang sehingga kini masih belum menerima bantuan yang telah diumumkan oleh kerajaan.

Katanya, ada ramai dalam kalangan mangsa banjir di kampungnya masih belum menerima bantuan tunai berjumlah RM5,000 bagi setiap keluarga untuk melakukan kerja-kerja pembaikan rumah seperti yang dijanjikan tahun lalu.

"Ada ramai sebenarnya masih belum menerima bantuan itu. Tapi bantuan-bantuan tunai lain seperti bantuan baiki kenderaan dan bantuan isi rumah itu memang kebanyakanya dah dapat.

"Kalau ikutkan ada kalangan kami dan saya sendiri masih lagi dalam proses untuk baiki rumah yang masih belum siap sepenuhnya sehingga kini akibat banjir tahun lalu," katanya kepada Astro AWANI.

Perkara tersebut turut diakui oleh wakil daripada Ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Johari Mahat 58, yang menyatakan bahawa terdapat lebih 50 kediaman yang terjejas di kampung berkenaan belum menerima bantuan tersebut disebabkan pelbagai faktor.

"Rungutan tu adalah sampai ke kami, ada di kalangan mereka disebabkan oleh keadaan tuan rumah yang tidak memohon bantuan menyebabkan penyewanya sukar untuk membaiki kediaman mereka.

"Namun, ada juga sebahagianya yang cukup syarat yang ditetapkan namun masih belum menerima bantuan tersebut. Kita dah cuba menyemak semula namun tidak tahu kenapa ia masih belum dapat,"jelasnya.

Kedua-dua mereka juga mengakui keadaan sungai di kampung itu masih lagi berisiko sekali pun terdapat usaha untuk membina benteng telah dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) selepas bencana yang melanda pada 2021, tetapi malangnya ia tidak mencukupi dan tidak menyeluruh.

Dua penduduk Batu 18, Kampung Jawa, Johari Mahat (kanan) dan Hamzah Abdul Wahab (kiri). - Astro AWANI

"Pihak berwajib seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu tengok kerana keadaan sungai itu sudah terlalu cetek dan perlukan kerja pendalaman untuk mengelak paras air sungai naik melimpah," katanya lagi.

Sementara itu Hamzah mendakwa kejadian hujan lebat beberapa hari lalu menyaksikan paras air di kawasan rumahnya naik mendadak sehingga hampir melimpah ke tebing.

"Kalau tengok baru-baru ini air naik sehingga ke paras jambatan yang baru dibina untuk menggantikan jambatan sebelumnya yang musnah tahun lalu. Ia sangat bahaya dan bermakna tidak mustahil kejadian tahun lalu akan berulang," ujarnya.

Tinjauan Astro AWANI di kawasan sekitar kawasan itu mendapati keadaan sungai berkenaan sememangnya cetek dan hanya beberapa tempat sahaja benteng batu dibina.

Kemusnahan infrastruktur yang dialami dalam kejadian banjir dahulu sebahagianya hampir sudah diganti namun sebahagian kediaman mangsa yang terlibat masih lagi menjalani kerja-kerja pembaikan atau pembinaan semula.

Justeru, mereka memohon agar kerajaan melihat keperluan yang difikirkan wajar dalam usaha mengurangkan risiko bencana yang sama melanda mereka buat kali ke dua.

Dalam masa yang sama, bantuan tunai berjumlah RM5,000 yang masih tertangguh bagi sebahagian penduduk Kampung Jawa diminta agar dapat disegerakan bagi meringankan beban yang ditanggung.

Dalam kejadian tahun lalu sejumlah 350 buah rumah di kampung berkenaan rosak teruk termasuk pelbagai harta benda lain seperti kenderaan yang musnah dalam tragedi banjir yang disifatkan paling teruk dalam sejarah yang pernah berlaku di daerah Hulu Langat.

Ada di kalangan mangsa yang hanya tinggal sehelai sepinggang dan hanya sempat menyelamatkan diri sementara ada mangsa yang kehilangan tempat tinggal disebabkan ia musnah sepenuhnya akibat bencana tersebut.