KUALA LUMPUR: Mangsa banjir yang kehilangan surat perakuan nikah dan dokumen Sijil Kursus Praperkahwinan boleh memohon semula mendapatkan dokumen penting berkenaan dengan bantuan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata bagi mangsa yang bernikah di Wilayah Persekutuan, surat perakuan nikah yang musnah atau hilang boleh didapati semula secara percuma.

"Begitu juga dokumen Sijil Kursus Praperkahwinan kepada bakal pengantin yang dianjurkan Jawi di Wilayah Persekutuan, mangsa banjir boleh memohon semula sijil berkenaan secara percuma," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Idris berkata bagi mangsa banjir di kalangan graduan Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga boleh memohon semula sijil atau diploma pengajian yang musnah akibat musibah banjir.

Katanya, permohonan untuk mendapatkan semula dokumen ini tidak perlu secara tergesa-gesa dan boleh berurusan terus dengan agensi Jakim dan Jawi.

[LAPOR LANGSUNG] Banjir ragut 46 nyawa, lebih 54,500 mangsa masih di PPS

"Ini adalah usaha agensi Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk membantu meringankan beban mangsa banjir," katanya.

Musibah banjir melanda beberapa negeri sejak Sabtu lepas, setakat ini mengorbankan 46 nyawa, sementara lima lagi masih hilang.

Ia turut menyaksikan kemusnahan serta kerosakan harta benda termasuk rumah dan kenderaan.

-- BERNAMA