JOHOR BAHRU: Bilangan mangsa banjir di Johor terus meningkat dengan seramai 1,703 mangsa daripada 469 keluarga ditempatkan di 16 pusat pemindahan sementara (PPS) di beberapa daerah terjejas.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Azmi Rohani, dua PPS baharu dibuka di Segamat dan Kluang sehingga jam 8 malam ini.

Katanya Segamat kekal menjadi daerah teruk terjejas dengan lapan PPS dibuka yang menempatkan 1,229 mangsa daripada 345 keluarga.

"Terdapat enam PPS di Kluang yang menempatkan 300 mangsa daripada 84 keluarga, manakala di Kota Tinggi, dua PPS dibuka menempatkan 174 mangsa daripada 40 keluarga," katanya.

Dalam pada itu Azmi memaklumkan, tiga jalan utama di Johor membabitkan tiga daerah yang dilanda banjir iaitu Segamat, Mersing dan Kota Tinggi terputus hubungan dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan.

Katanya jalan yang dinaiki air ialah Jalan Ladang Siang J223 di Kota Tinggi; Jalan Senai - Gemas FT001 di Segamat; dan Jalan Jabi-Bukit Tempurung J516 di Segamat.

"Ketiga-tiga jalan ini ditenggelami banjir dan tidak boleh dilalui oleh sebarang kenderaan termasuk kenderaan berat.

"Di Mersing pula, jalan terputus hubungan membabitkan jalan Jalan Utama Johor Bahru-Endau FT003 yang dibuka satu lorong sahaja.

"Manakala Jalan Jemaluang -Batu Pahat FT050 hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja, dan ditutup kepada kenderaan ringan," katanya menerusi kenyataan di sini malam ini.