SUNGAI PETANI: Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Kuala Muda yang menempatkan 162 mangsa dari 39 keluarga berikutan rumah mereka dilanda banjir kilat, malam tadi.

Kesemua mangsa dipindahkan berikutan paras air naik tinggi sehingga antara 0.3 meter dan satu meter memasuki rumah mereka.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata, yang dibuka setakat ini adalah PPS Dewan Kampung Bukit Belah di Batu 2, PPS Surau Taman Kenari dan PPS Masjid Al Huda di Kampung Jerung.

“PPS Dewan Kampung Batu Belah dibuka pada jam 11.32 malam menempatkan 18 mangsa dari tujuh keluarga, PPS Surau Taman Kenari menempatkan 13 mangsa dari tujuh keluarga dibuka pada jam 1.30 pagi, manakala PPS Masjid Al Huda melibatkan 25 keluarga terdiri 131 mangsa dibuka pada jam 12.30 tengah malam.

"Hujan lebat lebih tiga jam di daerah Kuala Muda turut mengakibatkan beberapa mukim, kampung dan taman perumahan dilanda banjir kilat.

"Sebanyak empat mukim di daerah itu dinaiki air membabitkan 15 kampung dan dua kawasan perumahan, menyebabkan 291 keluarga terjejas dinaiki air," katanya ketika dihubungi hari ini.

Foto APM Kedah

Mohd Muaz berkata, antara lokasi terjejas adalah di Mukim Pekula, Kampung Kepala Bukit dan Kampung Masjid di Mukim Pinang Tunggal, Kampung Kilang Macau dan Mukim Sidam Kiri.

"Mukim Sungai Petani membabitkan Kampung Gelugur, Kampung Bukit, Kampung Tepi Sungai, Kampung Raja, Kampung Raja Watt Siam, Kampung Bengki, Kampung Bukit Sera, Kampung Haji Wahab, Kampung Bukit Belah, Kampung Titi Mandi Lembu, Taman Kenari Jaya dan Taman Kampung Raja.

"Trend air ada yang semakin menaik dan ada yang menurun dan air pasang dilaporkan paling tinggi sehingga jam 1 pagi dan selepas itu akan surut," katanya.

Foto APM Kedah

Sementara itu, di daerah Yan tiada PPS dibuka setakat ini.

BACA: Selepas kepala air, banjir kilat landa kampung, taman di Yan

Dalam kejadian semalam Astro AWANI melaporkan hujan lebat sekitar Gunung Jerai sejak petang, menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini mengalami banjir kilat.

Antara kawasan yang terjejas adalah perkampungan sekitar Titi Hayun dan Batu Hampar selain pekan Yan turut dinaiki air setinggi antara 0.5 hingga 0.7 meter.

Foto APM Kedah