BESUT: Kekurangan aset dan terputus hubungan antara  punca bekalan makanan lambat tiba di sesetengah pusat pemindahan sementara (PPS) banjir.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata banjir luar jangka yang berlaku di negeri-negeri Pantai Timur terutama di beberapa kawasan di Terengganu dan Kelantan turut menyebabkan tercetusnya isu berkenaan.

Katanya bagi mengatasi permasalahan itu, antara tindakan yang dilakukan termasuk menggerakkan aset dan logistik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan yang terkesan dengan bencana alam itu.

“Kami telah meminta (bantuan) NGO kerana telah terdapat kekurangan makanan di PPS tertentu. Begitu juga kekurangan aset untuk logistik.

“Saya meminta Angkatan Tentera Malaysia yang mempunyai aset yang boleh dimobilisasikan kerana aset-aset itu berada di Lembah Klang manakala kawasan yang ditimpa banjir Terengganu, Kelantan dan Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Kuala Besut di sini pada Selasa.

Ikuti semua perkembangan mengenai banjir DI SINI!

Tambah Ahmad Zahid, selain itu Jawatankuasa Bencana Pusat juga akan mengkoordinasikan bantuan-bantuan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang telah diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya lagi, sekiranya keperluan mendesak, peruntukan tambahan akan diumumkan segera.

Dianggarkan seramai 66,718 mangsa banjir masih berlindung di PPS di lima negeri, dengan Terengganu dan Kelantan terus merekodkan peningkatan mangsa setakat 4 petang.