KOTA BHARU: Situasi banjir di Kelantan beransur pulih hari ini apabila empat daerah iaitu Kota Bharu, Kuala Krai, Jeli, dan Machang tidak lagi merekodkan jumlah mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Dalam kemas kini oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di akaun Twitter, sehingga jam 4 pagi Sabtu, hanya lima daerah masih terjejas berbanding sembilan pada Jumaat.


Ia meliputi Pasir Mas, Tumpat, Pasir Puteh, Bachok dan Tanah Merah.

Pasir Mas mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 12,066 orang daripada 4,158 keluarga di 23 PPS.

Ini diikuti Tumpat dengan 3,886 orang daripada 1,254 keluarga 13 PPS.

Tiga daerah lain masing-masing mencatat angka di bawah 1,000 mangsa.

Secara keseluruhan jumlah mangsa juga mencatat pengurangan apabila 17,298 orang daripada 5,769 keluarga masih ditempatkan di 48 PPS berbanding 24,690 mangsa pada Jumaat.