PUTRAJAYA: Suruhanjaya Tenaga (ST) sedang menjalankan siasatan berhubung insiden yang meragut tiga nyawa akibat terkena renjatan elektrik di Tumpat, Kelantan semalam bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

"ST amat bersimpati dan bersedih atas kejadian yang berlaku dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan.

"Sekiranya didapati berlaku kecuaian atau kesalahan oleh mana-mana pihak yang berkenaan, tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447] dan Peraturan-Peraturan Elektrik 1994," menurut suruhanjaya itu dalam kenyataan hari ini.

Semalam media melaporkan tiga beradik perempuan maut akibat terkena renjatan elektrik di Kampung Bendang Surau dekat Morak, Tumpat.

Suruhanjaya itu turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dengan risiko renjatan elektrik daripada kebocoran arus yang mungkin berlaku di sekitar kediaman terutama ketika musim hujan dan banjir yang sedang melanda negara.

"Orang ramai juga dinasihati sentiasa memerhatikan persekitaran kediaman dan melaporkan dengan segera kepada pihak utiliti bekalan elektrik sekiranya terdapat kejanggalan pada pepasangan elektrik seperti penebat wayar elektrik koyak dan sebagainya," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA