KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad hari ini menafikan 'hilang dari radar' ketika banjir melanda kawasan tersebut pada 18 Disember lalu.

Beliau dalam masa yang sama turut mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk mengulangi tuduhan tersebut di luar Dewan Rakyat.

Jelas Khalid, pada 18 Disember, beliau berada di Shah Alam bagi menguruskan seorang bapa yang kehilangan sembilan ahli keluarga akibat nahas jalan raya.

"Saya nak uruskan jenazah.... penempatan untuk keluarga yang datang dari Melaka nak ziarah. Terperangkap dengan banjir dan tak boleh balik. Hotel di Shah Alam pula semua penuh.

"Pada 19 Disember, saya pergi ke Decathlon untuk membeli tiga buah kayak (bagi membantu mangsa banjir)," ujarnya pada Mesyuarat Khas Parlimen Ke-14 Penggal Keempat di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Khalid, Pusat Operasi Shah Alam turut membuka empat dapur rakyat dan membekalkan 3,000 pek makanan sehari selama seminggu kepada mangsa-mangsa banjir.

Bagaimanapun, Bung Moktar bangkit mencelah mendakwa, kerana Khalid menguruskan hal lain, maka beliau tidak berada di kawasan banjir.

"Saya cabar Kinabatangan dan Perdana Menteri ulangi tuduhan saya hilang dari radar di Shah Alam pada hari banjir. Ulangi di luar, jangan tunjuk hero dalam Dewan. Buat PC (sidang media), dan ulang (tuduhan) tersebut di luar (Dewan Rakyat).

"Jangan lah berlindung di sebalik Dewan, imuniti Dewan... Jangan jadi pengecut," tegas Khalid. 

Bung Moktar kemudian berkata: "Radar mengatakan memang Shah Alam (Khalid) hilang."

Ketika sesi penerangan mengenai isu banjir pagi tadi, Perdana Menteri membidas wakil-wakil rakyat pembangkang yang didakwa “hilang” ketika musibah banjir membadai beberapa negeri pada 18 Disember lalu.

Ismail Sabri memaklumkan beliau bergegas melawat kawasan banjir pada lewat malam ketika bencana itu melanda bagi membantu mangsa banjir, bagaimanapun Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang dikatakan tidak kelihatan.