BANDAR BAHARU: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Relau diaktifkan dengan menempatkan 22 mangsa dari lima keluarga selepas dilanda banjir kilat.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu, Lt (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, PPS terbabit mula dibuka jam 7 malam melibatkan pemindahan mangsa dari Kampung Kilang Batu dan Kampung 300 Kaki.

“Mangsa melibatkan sepuluh lelaki dan wanita dewasa, sembilan kanak-kanak lelaki dan perempuan, seorang bayi serta dua lelaki dan wanita warga emas.

“Hujan skala lebat di Bukit Relau bermula jam 4 petang meningkatkan paras air sungai sehingga melimpah masuk ke dalam rumah penduduk berhampiran sungai,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Abdul Rahim berkata, pihaknya bersama agensi lain antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat Gerakan Parlimen dan Pejabat Penghulu telah menyediakan barangan keperluan asas seperti selimut, bantal dan makanan untuk mangsa.