JELI: Sepasang warga emas bersama anak mereka yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) diselamatkan sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Jeli selepas terperangkap dalam sebuah rumah di kampung Baru Jalan Malaysia, Jeli, Kelantan pagi tadi.

Menurut ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd Adni Ibrahim, hujan lebat semalam menyebabkan kampung berkenaan dilanda banjir kilat bermula awal pagi tadi

Ketiga-tiga mangsa berkenaan diselamatkan sekitar jam 8.20 pagi tadi selepas menerima laporan dari bilik gerakan operasi Bomba.

"Empat anggota dari balai Bomba dan Penyelamat Jeli hadir ke lokasi bagi pemindahan mangsa yang terperangkap di kawasan banjir ke kawasan selamat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimana pun sekitar jam 10 pagi, air di kawasan kampung berkenaan mulai surut.

Anggota JBPM melakukan persediaan bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam kejadian banjir kilat di Jeli. - Astro AWANI

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan hampir kesemua kawasan dan daerah di Kelantan mengalami keadaan hujan sederhana sehingga esok.

Sementara itu, mangsa banjir yang masih berada di Pusat Pemindahan Sementara, PPS setakat pagi ini berjumlah 31 orang membabitkan lima keluarga.

Kesemua mangsa banjir berkenaan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Tok Deh, Rantau Panjang.