Banjir Kuching: 133 mangsa dipindahkan

Najib Aroff
Januari 21, 2019 05:00 MYT
Lawatan ADUN Opar, Ranum Mina dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Transformasi Luar Bandar) Datu Jaul Samion ke Pusat Pemindahan Balai Raya Kampung Paon, Lundu. - Foto: JPBN Sarawak
Sejumlah 133 orang dipindahkan susulan banjir di Kuching setakat jam 12 tengah hari Isnin, berbanding 122 orang pada jam 8 pagi.
Kesemua mangsa ditempatkan di 4 pusat pemindahan melibatkan 32 buah keluarga.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak melaporkan 32 orang daripada 9 keluarga terjejas ditempatkan di Dewan Sinaran Kampung Sungai Lumut manakala 27 orang daripada 5 keluarga ditempatkan di Surau Ar Rahman di Kampung Sungai Batu.
Manakala 42 orang daripada 11 keluarga ditempatkan di Balai Raya Kampung Paon, Lundu dan 32 orang daripada 7 keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan SK Sebat, Sematan.
Terdahulu Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii dipetik sebagai berkata, pemantauan dijalankan di beberapa kawasan berisiko banjir di seluruh negeri berikutan cuaca tidak menentu, pagi Isnin.
Jabatan Meteorologi Malaysia pula meramalkan hujan berlaku di beberapa tempat di Bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah dan Limbang, pada Isnin.
#banjir #Banjir Kuching #bomba #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #Kuching #pusat pemindahan #Sibu