KUALA LUMPUR: Seramai 66,718 mangsa banjir masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri, dengan Terengganu dan Kelantan terus merekodkan peningkatan mangsa setakat 4 petang tadi.

Di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan, hujan lebat berterusan menyebabkan mangsa banjir meningkat kepada 39,108 orang daripada 10,735 keluarga, berbanding 37,792 daripada 10,401 keluarga pagi tadi.

Sebanyak 315 PPS beroperasi di kesemua lapan daerah di negeri itu dengan Kemaman merekodkan 10,042 mangsa di 31 PPS; Besut (9,378 mangsa di 96 PPS); Hulu Terengganu (6,652 mangsa di 58 PPS) dan Setiu (4,748 mangsa di 60 PPS).

Dungun merekodkan 2,913 mangsa di 36 PPS; Kuala Terengganu (2,252 mangsa di 11 PPS); Kuala Nerus (1,720 mangsa di 11 PPS) manakala Marang (1,403 mangsa di 12 PPS).

Ikuti semua perkembangan mengenai banjir DI SINI!

Di KELANTAN, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 26,630 orang daripada 9,319 keluarga petang ini, berbanding 17,326 orang daripada 4,793 keluarga pagi tadi.

Sebanyak 131 PPS dibuka membabitkan jajahan Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.

Berdasarkan laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my/, lima sungai utama melepasi paras bahaya termasuk Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai dengan bacaan 40.00 meter (m), Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat (3.18 m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.71 m).

Di PAHANG, Sekretariat JPBN melaporkan banjir di daerah Raub pulih apabila 67 mangsa banjir di tiga PPS di daerah itu dibenarkan pulang hari ini, namun mangsa banjir di Kuantan meningkat sedikit petang ini dengan 873 mangsa ditempatkan di lapan PPS, berbanding 867 orang pada pagi tadi.

Di PERAK, jurucakap Sekretariat JPBN menyatakan 54 orang daripada 17 keluarga kekal berada di dua PPS setakat 4 petang tadi membabitkan daerah Bagan Datuk dan Hilir Perak.

Di JOHOR, mangsa banjir yang ditempatkan di tiga PPS membabitkan daerah Segamat kekal 53 orang setakat 4 petang.

JPBN dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa daripada 17 keluarga itu adalah penduduk Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Batu 5 dan Kampung Kuala Paya.

-- BERNAMA