PEKAN: Lima daerah di Pahang dibadai gelombang kedua banjir sejak malam tadi.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, lima daerah berkenaan ialah Lipis, Maran, Bera, Rompin dan Raub.

Di Lipis, empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka menempatkan 206 mangsa banjir daripada 54 keluarga.

Manakala di Maran, 116 mangsa daripada 36 keluarga kini ditempatkan di enam PPS yang dibuka hari ini.

Di Bera pula, sebanyak satu PPS dibuka hari ini menempatkan 11 mangsa daripada tiga keluarga, sementara 11 PPS dibuka di Raub, menempatkan 227 mangsa daripada 65 keluarga.

Di Rompin pula, 10 mangsa daripada tiga keluarga yang terjejas ditempatkan di dua PPS.

Beberapa daerah di Pahang dilanda banjir gelombang kedua. - Foto APM

Dalam pada itu, seramai 1,542 mangsa banjir gelombang pertama masih ditempatkan di 18 PPS yang dibuka sejak 18 Disember 2021.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang memaklumkan lapan stesen sungai mencatatkan paras air sungai melebihi tahap waspada.

Manakala 13 stesen mencatatkan paras air sungai melepasi tahap amaran dan lima stesen mencatatkan paras air sungai melepasi tahap bahaya.