KUALA LUMPUR: Masjid-masjid di Wilayah Persekutuan termasuk Masjid Wilayah Persekutuan dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dijadikan penempatan sementara untuk mangsa banjir, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.

Beliau telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk menyelaraskan perkara berkenaan.

"Masjid-masjid di Wilayah Persekutuan telah bersedia dan akan menyediakan keperluan yang bersesuaian. Pihak masjid juga menguruskan makanan melalui Program Dapur It'am dan JAWI Food Bank," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut diarah menyediakan keperluan untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

Lembah Klang dilanda banjir buruk menyebabkan lebih 3,600 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara setakat malam tadi, selain sejumlah besar pengguna jalan raya terkandas akibat laluan dan lebuh raya ditutup setelah laluan dinaiki air.

Setakat 12 tengah hari ini, selain Kuala Lumpur dan Selangor, negeri lain yang turut terjejas dengan banjir ialah Kelantan, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Terengganu.

-- BERNAMA