IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) berjaya mengumpul lebih RM300,000 untuk sumbangan mangsa banjir hasil kutipan di seluruh masjid dan surau diri Jumaat di negeri itu.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, kutipan itu dibuat pada 24 Disember lalu melibatkan 622 masjid dan 63 surau diri Jumaat semasa umat Islam mendirikan solat Jumaat.

Menurut beliau, sehingga tarikh serahan pada Isnin, jumlah kutipan  mencecah RM306,000.

"Jumlah ini belum merangkumi semua kerana masih ada pihak masjid dan surau yang belum selesai membuat serahan," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Menurutnya, sumbangan awal itu akan diberikan kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas di Perak iaitu di Changkat Jong dan Padang Rengas.

"Insya-Allah akan ada lagi serahan oleh pihak-pihak masjid dan surau diri Jumaat selepas ini (yang belum membuat serahan)," ujarnya.

Dalam satu notis dikeluarkan pada 22 Disember lalu, JAIPk meminta agar setiap masjid dan surau diri Jumaat di Perak menyediakan tabung khas kepada mangsa banjir.

Hasil kutipan itu hendaklah disalurkan kepada Tabung Bantuan Bencana dan Kemanusiaan.