MERSING: Banjir yang melanda daerah Mersing pada ketika ini, disifatkan yang terburuk pernah dialami, sejak tempoh lima tahun.

Bencana susulan hujan lebat beserta fenomena air pasang besar itu menjejaskan seramai 1,173 orang mangsa, setakat jam 4 petang tadi.

Menurut penduduk Kampung Bahagia, kali terakhir penempatan itu dilanda banjir adalah pada tahun 2018, namun kejadian pada ketika itu disifatkan tidak seteruk seperti sekarang.

Air dilihat mula membanjiri ke dalam kediaman sejak malam semalam, menjejaskan kira-kira 40 buah rumah di perkampungan itu.

Malah, penduduk turut terpaksa menggunakan sampan bagi mengangkut mangsa yang terkandas, setelah air naik separas pinggang, malam semalam.

Banjir | Situasi paling teruk dialami di Mersing dalam tempoh lima tahun

Setakat jam 4 petang tadi, daerah Mersing merekodkan seramai 1,173 mangsa banjir yang terdiri 359 buah keluarga.

Bencana ini menjejaskan lebih 20 buah kawasan taman dan kampung, manakala Kampung Bahagia ini turut menjadi salah satu daripadanya dengan kira-kira 40 buah kediaman di sini dimasuki air.

Keadaan ini sedikit sebanyak menggugat urusan harian penduduk.