KUANTAN: Jumlah mangsa banjir di Pahang terus menunjukkan peningkatan  kepada 2,031 orang sehingga jam 8 pagi hari ini berbanding 1,844, mangsa yang direkodkan jam 12 tengah malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang dalam satu kenyataan berkata, semua mangsa terdiri daripada 582 keluarga itu kini ditempatkan di 30 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah.

"Temerloh menjadi daerah terbaharu dilanda banjir apabila sebuah PPS dibuka yang menempatkan 22 mangsa daripada tujuh keluarga.

"Manakala mangsa banjir di Rompin  meningkat kepada 1,555 daripada 422 keluarga yang berlindung di 15 PPS,"katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, lima PPS di Maran menempatkan 355 mangsa daripada 92 keluarga manakala mangsa di Pekan berjumlah 106 orang daripada 17 keluarga di dua PPS.

Tambahnya lagi, lima PPS di Raub  menempatkan 68 mangsa daripada 16 keluarga, 29 mangsa daripada tujuh keluarga di Bera dan 96 mangsa daripada 21 keluarga di Jerantut.

Anggota APM Temerloh membantu memindahkan mangsa banjir dari Kampung Batu Kapor ke PPS SMK Seri Semantan pagi tadi. - Foto APM

Sementara itu, menerusi laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Keratong di Jambatan Bahau Keratong, Rompin merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya iaitu 26.44 meter.

Selain itu lapan sungai di lima daerah mencatatkan paras air melebihi paras amaran iaitu masing-masing dua di Kuantan, Bera dan Maran manakala  satu di Temerloh dan Pekan.

Dua sungai di Kuantan ialah Sungai Lepar di Jambatan Gelugor dan Sungai Kuantan di Pasir Kemudi.

Manakala di Bera pula Sungai Triang di Triang dan Sungai Pahang di Waterfront.

Di Maran pula Sungai Jempol di Felda Rancangan Felda Jengka dan Sungai Pahang di Lubuk Paku.

Sementara di Temerloh pula Sungai Pahang di Kuala Krau dan Sungai Pahang di Paloh Inai, Pekan.

Sebanyak tujuh sungai mencatatkan  bacaan melepasi paras waspada iaitu tiga sungai di Jerantut, dua di Temerloh dan masing-masing satu di Maran dan Bera.