KLANG: Exco Kerajaan Negeri Selangor, V. Ganabatirau melihat keperluan untuk memperbesarkan saiz longkang sedia ada bagi mengekang kejadian banjir di Klang.

Jelasnya, pembangunan yang rancak juga menyebabkan banyak perkampungan ditenggelami air dan suatu program bagi mengatasi banjir perlu dilakukan dengan segera.

"Suara penduduk seperti di Taman Melawis, Taman Gembira dan sebagainya, kawasan ini pembangunan sudah ditebuk. Kita perlu besarkan longkang-longkang sedia ada. Cari tempat bagaimana saliran dapat disegerakan. Ia akan diambil kira dalam program pembangunan nanti.

"Saya percaya ADUN dan PBT akan bersama dengan saya dalam melaksanakan perkara begini. Pulau Indah juga banjir sebab tiada perancangan ketika kampung tradisi dibangunkan. Jadi, saya pantau dan akan bersama dengan Kerajaan Negeri sebab saya sekarang ini ADUN dan juga exco," katanya kepada media semasa melakukan kempen bertemu penduduk di Pasar Malam Pandamaran Jaya pada Khamis.

Katanya lagi, beberapa bulan lalu, kerajaan pusat mengumumkan peruntukan RM10 bilion bagi menangani bencana banjir.

Bagaimanapun katanya, semua hanya tinggal janji.

"Yang paling saya takut ialah Klang akan tenggelam dalam 30 tahun akan datang disebabkan  isu pemanasan global. Ada projek dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu empangan akan dibina antara laut dan Sungai Klang.

"Memang ini suatu yang baik dari kerajaan pusat. Namun saya risau satu sahaja, kerajaan pusat suka umum tetapi tak buat. Jadi percayalah kami, pada 19 November ini kami akan jadi kerajaan,"ujarnya.

Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di peringkat kerajaan pusat didakwa melakukan kerja sambil lewa dalam kerja-kerja menaiktaraf longkang untuk mengatasi isu banjir di Selangor khususnya Shah Alam.

Ganabatirau berkata, perkara itu menyebabkan banyak kawasan perumahan dan industri kerap dilanda banjir.

"Dekat Taman Sri Muda ban sepenuhnya telah siap, tetapi kunci air itu sedang dilakukan dan tahun depan dijangka tamat. 4 pam sudah dipasang, kelmarin ada banjir di Sri Muda maka malam tadi sudah pasang tambahan pam.

"Bukit Kemuning banjir, maka pam tersekat dan diperbaiki. Kalau semua ini dapat diusahakan rapi, namun JKR dan JPS pusat sambil lewa.

"Kita nampak mereka bina konkrit longkang di Batu 7, namun, Batu 8 mereka tak bina. Ini keluhan rakyat sejak 2008 mereka tak nak buat. Ini menyebabkan lot-lot perumahan dan industri di Bukit Kemuning banjir akibat jalan utama dan saliran utama," katanya lagi.