SHAH ALAM: Seramai 50 penduduk Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini yang ditimpa musibah banjir Disember tahun lalu memfailkan saman terhadap pihak berkuasa atas alasan kecuaian dan pelanggaran tanggungjawab.

Mereka menamakan ketua pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Alam Sekitar dan Air, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Majlis Bandaraya Shah Alam sebagai defendan, lapor sebuah portal pada Isnin.

Turut dinamakan dalam saman itu ialah dua buah syarikat korporat.

Laporan portal berita itu memaklumkan, saman juga difailkan terhadap kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan negeri Selangor kerana ia turut bertanggungjawab atas kecuaian atau peninggalan pihak lain.

Dalam saman yang difailkan oleh firma guaman Tanes, Khoo & Paulraj di Mahkamah Tinggi Shah Alam minggu lalu, plaintif menuntut ganti rugi khas berjumlah RM3.8 juta daripada defendan.

Laporan memetik sumber itu berkata, mereka juga menuntut ganti rugi am serta ganti rugi teruk atas bayaran kos perubatan, tekanan emosi, kesakitan dan penderitaan yang dialami.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif berkata, Nadma tidak menyediakan pelan tindakan menyelamat yang berkesan selepas banjir.

Mereka juga berkata, terdapat arahan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menyatakan bahawa Nadma akan mengetuai, menyelaras serta melaksanakan tindakan pasca bencana.

Menurut mereka, Jabatan Meteorologi gagal memberi amaran tepat pada masanya mengenai banjir yang akan berlaku.

Mereka mendakwa hanya dimaklumkan dua hari selepas berlakunya banjir, walaupun jabatan itu memberi amaran kepada penduduk yang tinggal di Pantai Timur.

Plaintif berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran serta pihak berkuasa tempatan (PBT) gagal membangun mahupun menguruskan sistem banjir Sungai Klang.

Kata mereka lagi, PBT telah meluluskan terlalu banyak arahan pembangunan di sekitar Taman Sri Muda, iaitu antara kawasan yang paling teruk terjejas semasa banjir.

Mereka turut berkata, sebuah anak syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor Incorporated juga gagal mengurus kutipan sampah domestik dan perkhidmatan pembersihan awamnya dengan baik.

Menurut plaintif, janakuasa sandaran di pintu air pasang surut Taman Sri Muda juga gagal disediakan menyebabkan ia melimpah apabila janakuasa sedia ada ditenggelami air.

Peguam V Vemal Arasan, Gurdial Singh Nijhar, M Kula Segaran dan James Joshua Paulraj mewakili plaintif secara pro bono bagi tindakan undang-undang itu.

Vemal seperti dilaporkan portal tersebut berkata, pengurusan kes ditetapkan pada 25 Julai. -Sinar Harian