DUNGUN: Meskipun telah biasa dengan bencana banjir, namun penduduk mengakui tertekan dari segi mental dan fizikal apabila harus menanggung kerugian besar akibat kerosakan harta benda.

Menurut mereka, saban tahun situasi sama berulang ekoran sebahagian besar kawasan kampung itu ditenggelami air.

Susulan gelombang ketiga banjir yang melanda pada Khamis menyebabkan penduduk di Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun sekali lagi terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

"Memang rasa letih, sebab tiap-tiap tahun, kadang-kadang macam tahun lepas, enam kali naik air, enam kali basuh rumah.

"Tahun ini dua kali, rasa tak larat sudah, umur pun sudah tua, sudah 57 sekarang. Letih, semua nak angkat ke atas," jelas suri rumah, Tengku Maimun Tengku Ismail.

Bagi Norliza Abdul Wahab pula, selain letih mengemas, barangan kelengkapan rumah turut rosak.

"Memang saya rasa letih sebab sudah tiap-tiap tahun banjir. Barang pula banyak rosak, barang elektrik semua," katanya.

Terdahulu, Terengganu sekali lagi dilanda banjir selepas seramai 388 mangsa dipindahkan ke PPS.

Menerusi gelombang ketiga, banjir itu menyaksikan Daerah Dungun menjadi kawasan pertama dilanda bencana alam tersebut.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, dua buah PPS di Kampung Pasir Raja dan Kampung Shukor telah diaktifkan bagi menempatkan 114 keluarga.