Banjir Perak: Penduduk tiga kampung dipindahkan

Abd Razak Mohd Ali
November 16, 2018 01:00 MYT
Kampung-kampung yang terlibat ialah Kampung Simpang Halt di Taiping dan Kampung Baru Kuala Dipang serta Kampung Chabang Dua Kuala Dipang di Kampar. - Foto Astro AWANI/Abd Razak Ali
Mangsa banjir di Perak meningkat kepada 56 orang, apabila sebuah lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Daerah Kuala Kangsar, awal pagi ini.
PPS Dewan Orang Ramai Kampung Setor, Padang Rengas dibuka jam 12.10 pagi tadi bagi menempat lima sekeluarga di kampung itu selepas rumah mereka dinaiki air.
Menurut laporan terbaharu Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perak, keadaan di Daerah Kampar kekal dengan 23 mangsa dari tujuh keluarga di Kampung Simpang Halt, Taiping dipindahkan ke dewan orang ramai kampung itu yang dibuka jam 6.30 petang semalam.
Di Kampar pula, mangsa meningkat daripada 18 orang dari empat keluarga di Kampung Baru Kuala Dipang dan Kampung Chabang Dua Kuala Dipang kepada 28 orang daripada tujuh keluarga.
Mereka ditempatkan di Dewan Orang Ramai Datuk Azman Mahalan yang dibuka jam 9 malam tadi.
Menurut laporan itu lagi, hujan lebat turut menyebabkan beberapa kawasan di Daerah Kinta dan Selama mengalami banjir kilat.
Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan dibuka dan pemantauan masih dilakukan.
#banjir #Kuala Kangsar #mangsa #Perak #PPS #pusat pemindahan #Taiping