Banjir: PM arah bantuan RM1,000 kepada ketua isi rumah terjejas disegera

Shuhada Abdul Kadir
Disember 21, 2021 08:32 MYT
Ismail Sabri menjelaskan bantuan itu sebenarnya untuk semua yang terjejas dengan bencana alam berkenaan termasuk mereka yang tidak berpindah ke PPS. - Gambar/ Bernama
JELEBU: Kerajaan mengarahkan supaya bantuan sebanyak RM1,000 kepada ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir di seluruh negara dipercepatkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bagi meringankan beban ditanggung mangsa yang terlibat dalam menghadapi fasa pasca banjir.
Beliau berkata, ramai yang keliru dengan pengumuman dibuat oleh kerajaan berhubung bantuan awal berkenaan yang kononnya hanya akan diberikan kepada mereka yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Sebaliknya jelas beliau, bantuan itu sebenarnya untuk semua yang terjejas dengan bencana alam berkenaan termasuk mereka yang tidak berpindah ke PPS.
Katanya, kes mereka bagaimanapun perlu disahkan oleh pejabat daerah masing-masing.
Beliau turut mengarahkan semua pihak berkaitan untuk lebih agresif dalam menyegerakan bantuan berkenaan kepada mangsa banjir yang terjeas kerana ada antara mereka yang hanya tinggal sehelai sepinggang selepas kejadian berkenaan.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Bencana banjir 2021: 17 terkorban akibat banjir di Selangor
BACA: Banjir: Bantuan RM1,000 kepada ketua isi rumah terjejas - Perdana Menteri
"Kita bersetuju menyalurkan RM1,000 bagi setiap keluarga yang terkesan akibat banjir, nama mangsa perlu dihantar oleh negeri... oleh daerah yang berkaitan, saya nak supaya ia dipercepatkan, supaya pembayaran tak perlu tunggu lama.
"Saya tak nak bila diumumkan, timbul isu nama tak lengkap dan sebagainya, akhirnya lambat (diterima) sedangkan banjir yang besar ini sesetengah (mangsa tinggal) sehelai sepinggang, habis semua musnah segala-galanya... bantuan kewangan itu penting," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat PPS Dewan D'Dury Kuala Klawang, di sini, hari ini.
PM arah semua agensi agresif bantu mangsa banjir
Sebelum ini kerajaan mengumumkan bantuan sebanyak RM1,000 kepada ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir.
Bantuan itu akan disalurkan selepas kesemua mangsa yang ditempatkan di PPS pulang ke rumah masing-masing.
#banjir jelebu #Banjir 2021 #bantuan mangsa banjir #ismail sabri yaakob