DUNGUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka pusat kawalan tempat kejadian di Kampung Jongok Batu, Hulu Dungun bagi memudahkan pengurusan mangsa gelombang ketiga banjir di Dungun.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah berkata, Pusat kawalan itu diwujudkan sebagai pusat operasi di lapangan, untuk mengkoordinasi dan menyelaraskan operasi bantuan yang melibatkan pelbagai agensi penyelamat.

Antaranya termasuklah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Menurut Baharudin, hujan lebat sejak Khamis menyebabkan Kampung Pasir Raja dan Kampung Shukor dilanda banjir.

"Kalau mengikut keadaan hujan sekarang ini, kita jangka memang akan ada penambahan, di kawasan Pasir Raja sendiri, dan juga di kawasan Shukor.

"Dan mungkin esok air akan turun di kawasan Kuala Jengai dan Kampung Minda," katanya.

Banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu sejak Khamis menyebabkan dua kampung di Daerah Dungun terjejas.

Sebanyak dua pusat pemindahan sementara (PPS) telah diaktifkan bagi menempatkan serami 390 mangsa melibatkan 114 keluarga.