SANDAKAN: Banjir di Sabah kembali memburuk dengan jumlah mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) meningkat sejak tengah malam tadi.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah berkata, sehingga jam 8 pagi ini, seramai 1,532 mangsa banjir ditempatkan di empat PPS daerah terjejas.

Menurutnya, jumlah itu meningkat berbanding jam 8 malam tadi iaitu seramai 1,376 orang.

“Daerah terlibat iaitu Paitan dengan seramai 111 orang mangsa; Pitas 1,152; Lahad Datu 43; dan Telupid 226.

“PPS di Telupid memperlihatkan jumlah peningkatan jumlah mangsa berbanding malam tadi, manakala tiga daerah lain kekal berbanding semalam.

“Dalam masa sama, jumlah PPS yang diaktifkan turut meningkat daripada lapan buah kepada 10 setakat jam 8 pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Selasa.

Jumlah mangsa banjir di Sabah pada pagi Isnin memperlihatkan trend penurunan dan mangsa dibenarkan pulang semula ke rumah masing-masing apabila banjir dilaporkan hampir pulih.

Bagaimanapun, hujan lebat berterusan menyebabkan banjir melimpah semula dan mangsa mula ditempatkan di PPS semula.