KOTA KINABALU: Sandakan menjadi daerah keempat yang terjejas akibat fenomena air pasang dan banjir menyaksikan jumlah keseluruhan mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahaan sementara (PPS) meningkat kepada 1,149 orang pagi ini.

Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah, ia melibatkan 284 keluarga dari empat kawasan terjejas iaitu Pitas, Sandakan, Kota Belud dan Kota Kinabalu.

Pemindahan mangsa ini adalah ekoran fenomena air pasang iaitu di Pitas, Sandakan dan Kota Kinabalu, manakala bencana banjir melibatkan daerah Kota Belud.

Setakat ini, 10 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu enam di Pitas, dua di Kota Belud serta masing-masing satu di Sandakan dan Kota Kinabalu.

"Dua PPS dibuka di Kota Belud ekoran bencana banjir di daerah itu, melibatkan Dewan SJK (C) Chung Hwa dan Dewan SK Pekan, manakala tiga daerah terlibat dalam fenomena air pasang.

"Antara PPS yang dibuka di Pitas ialah Dewan Kampung Mempakad, Balai Raya Agropolitan Kampung Pinggan-Pinggan dan Dewan Terbuka Kampung Rosob.

“Sementara itu, bagi daerah Kota Kinabalu dan Sandakan pula, PPS yang dibuka ialah di Dewan Masyarakat Sembulan dan Sk Sungai Anib 2,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu turut memperincikan bahawa, seramai 675 mangsa yang dipindahkan di PPS ialah golongan dewasa dan warga emas, sementara 474 melibatkan kanak-kanak dan bayi.