SHAH ALAM: Sembilan stesen sungai di Selangor menunjukkan bacaan aras air berada di paras bahaya setakat jam 7.50 pagi pada Khamis.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam satu kenyataan di laman Facebook memaklumkan, sembilan kawasan itu melibatkan lima daerah iaitu daerah Sepang ( Sungai Labu, Sungai Langat di Dengkil, Sungai Langat di Jenderam Hilir), daerah Hulu Langat ( Sungai Semenyih) dan daerah Petaling ( Sungai Bakul).

Turut terlibat lima sungai di daerah Klang iaitu Sungai Binjai, Sungai Klang, Sungai Rasau di Taman Desa Kemuning, Sungai Rasau di Tugu Keris dan Sungai Kandis.

Daerah Kuala Langat pula hanya melibatkan satu kawasan iaitu Sungai Langat di Bukit Changgang.

Menurut kenyataan tersebut, orang ramai dinasihatkan sentiasa peka dengan petunjuk bacaan aras air dan kelebatan hujan di kawasan sekitar.

"Maklumat tersebut boleh didapati dengan melayari http://publicinfobanjir.water. gov.my," ujarnya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut memberi amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku di tujuh negeri sehingga jam 10 pagi.

IKUTI SEGALA MAKLUMAT TENTANG BANJIR DI SINI 

MetMalaysia dalam satu kenyatan memberitahu, kawasan yang terlibat adalah Terengganu iaitu di sekitar Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang, Pahang di Rompin manakala di Selangor adalah Kuala Langat dan Sepang.

Negeri Sembilan melibatkan daerah Seremban, Port Dickson dan Rembau, di Johor pula Tangkak, Muar, Batu Pahat, Mersing dan Kota Tinggi serta Melaka.

Beberapa kawasan di Sarawak iaitu Lundu dan Kuching serta Sabah melibatkan Telupid, Kinabatangan, Beluran, Sandakan dan Kudat

Kata kenyataan itu, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," ujarnya. -Sinar Harian