MARANG: Keadaan banjir di Besut kini semakin buruk dengan semua jalan menuju ke daerah itu terpaksa ditutup kerana ditenggelami air.

Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Ahmad Izram Osman berkata penutupan kepada semua jenis kenderaan itu dilaksanakan sejak semalam.

Selain semua akses ditutup, jumlah mangsa banjir di Besut juga merekodkan antara tertinggi di Terengganu yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu seramai 5,492 orang.

"Kesemua mangsa daripada 1,506 keluarga ini kini berlindung di 83 PPS," katanya ketika ditemui selepas mendengar taklimat berhubung situasi semasa banjir di Terengganu yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah JBPM Terengganu, Mohd Khairiri Mat Resad @Arshad.

Terdahulu, Ahmad Izram melakukan tinjauan udara melibatkan kawasan Hulu Terengganu yang mana rata-rata kawasan dilihat masih digenangi air dengan beberapa sekolah dan kawasan perumahan ditenggelami air.

Ikuti semua perkembangan mengenai banjir DI SINI!

Bagaimanapun, usaha untuk melakukan tinjauan udara ke daerah Besut tidak dapat dilakukan berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

"Hasil pemantauan ini akan dilaporkan kepada ibu pejabat di Putrajaya serta Pusat Pengurusan Operasi bagi memudahkan perancangan dan tindakan yang akan diambil seterusnya," katanya.

Beliau berkata keadaan muka bumi Besut yang berbukit menambah kesukaran kepada pasukan keselamatan untuk ke kawasan tertentu, khususnya kampung-kampung di pedalaman.

Ahmad Izram berkata ketika ini pasukannya bergerak dengan kekuatan 367 pegawai dan anggota termasuk 81 orang pelatih daripada Akademi Bomba Wakaf Tapai.

Operasi pemindahan juga dibantu oleh pihak pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta pihak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menyediakan dua buah lori bagi setiap daerah serta lima buah lori pengangkut yang disediakan oleh Ibu Pejabat JBPM di Putrajaya, katanya.

-- BERNAMA