TANAH MERAH: Belum ada keperluan untuk kerajaan mengisytiharkan darurat iklim ketika ini susulan beberapa negeri terjejas teruk akibat banjir, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata untuk mengisytiharkan darurat iklim, beberapa proses dan penilaian tertentu perlu dilakukan oleh pihak bertanggungjawab bagi keputusan dibuat apabila tiba masanya.

"Buat masa ini belum ada keperluan isytihar Darurat Iklim kerana keadaan (banjir) masih lagi terkawal kerana untuk berbuat demikian ia ada proses dan penilaian tertentu oleh pihak yang bertanggungjawab.

"Saya fikir keseluruhan operasi terkawal dan berjalan baik dan laporan telah diberikan secara berkala termasuk semasa mesyuarat jemaah menteri semalam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pusat pemindahan sementara (PPS) Alor Pasir, di sini hari ini, selepas menyampaikan bantuan sumbangan kepada mangsa banjir.

LAPORAN KOMPREHENSIF BANJIR DI SINI

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun.

Sebelum ini, media melaporkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu mencadangkan pengisytiharan Darurat Iklim dan menggerakkan usaha yang radikal bagi membincangkan langkah-langkah mitigasi segera untuk membendung dan mengurangkan risiko dan impak banjir yang sedang melanda negara terutamanya di negeri Pantai Timur.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata pihaknya turut memberi tambahan aset udara ke Kelantan dan Terengganu.

"Aset tambahan udara yang saya minta dari pasukan polis sediakan adalah dua unit di Kelantan dan satu unit di Terengganu.

"Pada masa sama, kita gesa mangsa terlibat agar beri kerjasama yang baik sekiranya diminta berpindah oleh pihak berkuasa kerana jika melengahkan masa ia boleh mengancan nyawa," katanya.

-- BERNAMA