KOTA BHARU: Bencana banjir yang melanda negara waktu ini tidak boleh dianggap pesta, sebaliknya, umat Islam disaran supaya bermunajat dan memohon doa supaya keadaan kembali reda.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, dalam masa sama, umat Islam sentiasa bertawakal selain mengikut peraturan dan arahan daripada pihak berkuasa.

Beliau turut memberitahu, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) melalui laman rasminya turut memaparkan doa-doa untuk dibaca sewaktu musibah bencana.

Jakim juga, kata beliau, telah menggerakkan jentera teknologi maklumatnya bagi menyebarkan panduan dan doa untuk diamalkan pada waktu bencana.

“Paling penting sebagai orang Muslim kita kena banyak berdoa kepada Allah dan jangan menganggap ini sebagai pesta, jangan lupa bertawakal ikut peraturan dan arahan,” katanya.

Menurut beliau, selain mematuhi arahan pihak berkuasa, mangsa banjir juga diingatkan supaya memohon keselamatan daripada Allah.

Tegas Marzuk, aktiviti meredah air dan mengganggap banjir sebagai pesta merupakan tanggapan yang salah kerana banjir ini merupakan bencana alam dan boleh mengundang bahaya sekiranya tidak menjaga keselamatan.