KUALA LUMPUR: Polis telah membuka satu kertas siasatan berhubung satu perhimpunan bantahan kenaikan harga barang yang diadakan sekumpulan mahasiswa di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, pihaknya akan memanggil 30 individu yang menyertai perhimpunan itu.

"Pada 23 Julai 2022, jam lebih kurang 2.00 petang hingga 3.00 petang, terkesan satu perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang diadakan di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

"Hasil daripada pemerhatian yang dibuat didapati seramai lebih kurang 100 orang terdiri daripada mahasiswa, ahli parti politik, beberapa individu yang dikenal pasti dan belum dikenal pasti telah berhimpun mengadakan perhimpunan '#Turun dan Lawan' sambil memegang plakad dan banner bertulis 'potong gaji menteri, turun dan lawan' dan lain-lain lagi," katanya.

Susulan perhimpunan itu jelasnya, satu laporan polis telah dibuat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dibawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Setakat ini seramai 30 individu telah dikenal pasti dan kesemua individu yang terlibat dalam perhimpunan tersebut akan dipanggil ke IPD Dang Wangi untuk diambil keterangan dalam masa terdekat," katanya lagi.

Tambah Noor Dellhan, orang ramai dinasihatkan agar tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang melanggari undang-undang dan tindakan tegas akan diambil dibawah peruntukan undang-undang yang masih berkuat kuasa.

Terdahulu, sekumpulan mahasiswa dan ahli parti politik mengadakan perhimpunan membantah  kenaikan harga barang di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada petang Sabtu.

Perhimpunan itu antara lain mengemukakan lima tuntutan berhubung kenaikan harga barang serta pemotongan gaji menteri serta duta khas bertaraf menteri.