KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, pemulihan ekonomi Malaysia perlu disegerakan agar negara tidak akan ketinggalan.

Bertitah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 pada Isnin, Baginda juga menggesa segala urusan rakyat dipermudahkan bagi membantu mereka membina semula kehidupan dengan rasa selamat, aman dan makmur.

“Beta amat bersyukur dengan kestabilan politik yang dikecapi kini menerusi kerjasama dwi-partisan melalui Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang telah ditandatangani antara pihak Kerajaan dengan pembangkang.

“Alhamdulillah, landskap politik negarga kini lebih stabil bagi menjayakan agenda pembangunan demi kepentingan rakyat Beta dan masa hadapan negara,” titah Seri Paduka Baginda.

Titah Al-Sultan Abdullah mahukan pemulihan ekonomi disegerakan

Melangkah ke hadapan, Al-Sultan Abdullah menyeru Ahli Parlimen untuk terus mengekalkan persefahaman yang telah terbina dan juga memelihara kestabilan politik yang telah dicapai.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong bertitah agar semua program dan projek yang akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) perlu siap mengikut jadual dan mematuhi kualiti yang ditetapkan agar dapat memberi manfaat kepada rakyat.

“Beta berharap Jawatankuasa Khas Pemantauan RMK-12 yang melibatkan pelbagai agensi Persekutuan dan negeri akan dapat mengawasi dengan sebaik-baiknya pelaksanaan dan pencapaian RMK-12 supaya sasaran ‘outcome’ dapat dicapai dan seterusnya memenuhi keperluan sosioekonomi.

“Komitmen Kerajaan untuk mengekalkan pembangunan sebagai agenda nasional terbukti dengan penyediaan peruntukan pembangunan bagi ‘Rolling Plan 2’ Tahun 2022 RMK-12 berjumlah RM75.6 bilion yang disalur kepada pelbagai kementerian dan agensi bagi pelaksanaan sebanyak 6,749 program atau projek,” titah Baginda.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan ekonomi negara akan mendapat manfaat yang besar melalui perjanjian perdagangan bebas ekonomi serantau dan antarabangsa yang ditandatangani Malaysia.

“Perjanjian Kerjasama Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) yang telah diratifikasi akan turut menyediakan akses pasaran yang lebih luas.

“Ia juga memberi peluang yang berlipat ganda untuk syarikat-syarikat tempatan, khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk meningkatkan penyertaan dalam rantaian nilai serantau dan global,” titah Seri Paduka Baginda.