Ahli Dewan Negara, YB Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengadakan satu lawatan ke Perkampungan Budaya Mah Meri untuk menyampaikan bantuan makanan kepada pekerja seni dan budaya komuniti Mah Meri yang telah terkesan daripada pandemik COVID-19.

Program bantuan makanan ini adalah hasil usahasama dengan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA). Turut hadir bersama ialah Pengerusi MyCreative Ventures, Noor Azmi Mat Said dan Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA, Izan Satrina. Hampir 100 buah isi rumah yang menerima manfaat melalui program ini dimana setiap penerima menerima bantuan makanan terutamanya makanan asas.

Tengku Dato' Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz berpeluang untuk bertemu dengan pekerja-pekerja seni di Perkampungan Budaya Mah Meri. Dalam sesi tersebut, Tengku Zafrul menerima maklumbalas dan saranan daripada mereka tentang bagaimana cabaran-cabaran yang dihadapi ini dapat diringankan oleh pihak Kerajaan.

Tengku Zafrul menyatakan, “Komuniti Mah Meri bergantung hampir sepenuhnya kepada aktiviti pelancongan di pusat kebudayaan yang mana telah terkesan teruk dan telah tidak beroperasi sejak tahun lepas kerana pematuhan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).”

“Kajian terkini menunjukkan bahawa sektor seni dan budaya di seluruh negara telah terkesan dengan teruk disebabkan oleh COVID-19 dimana hampir 80% pekerja di dalam sektor ini telah kehilangan pendapatan atau sumber pendapatan yang telah berkurangan,” beliau tambah, merujuk kepada hasil penemuan oleh CENDANA didalam Laporan Impak COVID-19 terhadap Seni dan Budaya 2021.

Seramai 2,000 orang suku kaum Mah Meri kini menetap di Pulau Carey yang mana kebanyakan daripada mereka berkerja sebagai petani, nelayan dan lain-lain lagi. Ada juga di antara mereka yang bekerja sebagai pengukir kayu, pengukir topeng, penganyam daun pandan, dan pekerja seni persembahan; yang merupakan amalan penting bagi masyarakat Mah Meri yang bukan sahaja sebagai sebuah aktiviti komersial, tetapi juga sebagai sebahagian daripada ritual hidup mereka. Aktiviti-aktiviti ini menyumbang kepada pelancongan kebudayaan di Selangor dan sering menerima ramai pelancong yang melawat ke Perkampungan Budaya Mah Meri.

Namun, disebabkan oleh pandemik, mereka tidak dapat menjana pendapatan melalui aktiviti-aktiviti pelancongan seperti menjual hasil kraf dan persembahan budaya.

“Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi membantu sektor seni budaya di bawah pelbagai bantuan kewangan dan pakej stimulus seperti PENJANA dan PERMAI. Namun, masih terdapat ruang dan peluang untuk sektor swasta menyumbang kepada mereka yang terjejas teruk akibat pandemik ini dan untuk menyokong komuniti seni budaya juga,” ujar Tengku Zafrul.

“Pelan Pemulihan Negara kini bertujuan untuk mebantu negara keluar daripada kemelut pandemik COVID-19 ini melalui ‘Whole-of-Nation’ approach atau pendekatan seluruh negara. Semua pihak termasuklah pihak swasta dan GLC perlulah memainkan peranan yang penting memastikan negara dapat keluar daripada kemelut ini dengan jayanya.

Menurut Noor Azmi, sektor seni dan budaya bukan sahaja sebuah punca pendapatan kepada ribuan rakyat Malaysia tetapi juga sebuah sumber kritikal yang menyatukan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang. Beliau berkata, “ CENDANA sebagai sebuah unit dibawah Kumpulan MyCreative Ventures, komited dalam memastikan pengamal seni dan budaya serta pekerja tadbir dilindungi sepanjang pandemik ini. Kami akan memastikan ketersediaan mereka dalam proses pemulihan bersama-sama industri kreatif lain yang lebih meluas lagi. "

“Melalui pelbagai pakej bantuan kewangan yang dilancarkan oleh pihak Kerajaaan, Kumpulan MyCreative Ventures telah memperkenalkan banyak program untuk melindungi perniagaan dan pekerjaan. Kini, dengan pembukaan sektor secara berperingkat, tugas kami adalah untuk mempertingkatkan set kemahiran dan bakat yang ada. Ini adalah antara usaha-usaha yang akan diperhebatkan lagi melalui pelan transformasi Kumpulan MyCreatives dalam menyumbang kepada pembangunan Ekonomi Jingga (juga dikenali sebagai ekonomi kreatif) bagi negara ini.”

Sementara itu, Izan Satrina berkongsi antara dapatan kajian terkini CENDANA terhadap sektor seni dan budaya, “Pandemik COVID-19 telah memberi kesan yang besar kepada ekonomi negara dan pelbagai sektor termasuklah sektor Seni Budaya. Berdasarkan laporan Impak COVID-19 kepada Sektor Seni Budaya tahun ini, 64% daripada penggiat seni dan pekerja seni budaya meneruskan pekerjaan dengan gaji yang telah dikurangkan dan sejumlah 83% daripada mereka yang bimbang dengan masa depan mereka dalam bidang seni.

Izan menambah, “Disebabkan oleh pandemik ini, kami telah memperhebatkan usaha kami dalam menyokong pemulihan sektor seni dan budaya. Sehingga kini, kami telah meluluskan dana untuk kira-kira 1,000 penerima manfaat tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan untuk lebih daripada 11,000 rakyat Malaysia dan mempertingkatkan kemahiran lebih daripada 13,000 penggiat industri sejak kami mula beroperasi pada tahun 2017. Dalam tempoh kurang dari 12 bulan, CENDANA telah meluluskan sebanyak RM19juta yang bakal membuka peluang pekerjaan kepada lebih daripada 6,000 pengamal seni Malaysia.”

Program-program dan inisiatif CENDANA kepada komuniti adalah meluas – daripada artisan, pembuat kraf, penghasil kraf, basker, penyanyi veteran, kru teknikal, pekerja produksi, pelakon, penari dan lain-lain lagi. Dalam usaha membantu masyarakat Mah Meri yang memerlukan, CENDANA berkerjasama rapat dengan Cik Norliah Samsi yang boleh dihubungi di 016-622 2035 atau melalui laman Facebook https://www.facebook.com/www.mmcv.org.my.