LABUAN: Seorang bapa berusia 48 tahun maut dan dua anak perempuannya cedera selepas kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka terjatuh ke dalam sebuah gaung di Kampung Layangan di sini malam tadi.

Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenali sebagai Abd Rashid Bahari sementara anaknya Nur Aqeesha, 8, dan Nor Izah Batrisyah, 10, cedera dalam nahas pada pukul 8 malam itu.

Ketua Balai Bomba Layangan Huzyman Malikin berkata beliau menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.26 malam dan bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata pihaknya mengalami kesukaran untuk mengeluarkan mangsa daripada kenderaan kerana kerosakan teruk pada bahagian depannya.

"Kami menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata operasi menyelamat selesai pada pukul 9.25 malam.

-- BERNAMA