SHAH ALAM: Bapa pelakon remaja perempuan yang sebelum ini ditahan kerana didakwa mencabul dan mengabaikan, hari ini direman sekali lagi bagi membantu siasatan kes memukul anaknya itu menggunakan penyangkut baju.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, tempoh reman empat hari terhadap suspek berusia 43 tahun itu diperoleh selepas permohonan dilakukan di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi.

"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 31 (1) (A) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Beeliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Townhall Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Semalam, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim, dilapor berkata lelaki itu yang ditahan minggu lepas, dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam susulan laporan dibuat mangsa pada 8 September yang mendakwa dipukul menggunakan penyangkut baju pada 2014.

Sebelum ini, bapa kandung kepada pelakon remaja perempuan itu ditahan polis pada 2.25 petang 6 September lalu di Kedah susulan laporan polis dibuat anaknya itu membabitkan kes serangan seksual, pengabaian dan memiliki bahan lucah.