KLANG: Bapa kepada pelakon remaja yang ditahan atas dakwaan mencabul dan mendera anaknya sendiri dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara bagi siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, suspek sebelum ini ditahan di IPD Shah Alam.

"Suspek berumur 43 tahun itu telah diserahkan kepada pihak IPD Klang Utara bagi siasatan melibatkan cabul dan amang seksual.

"Permohonan reman bagi suspek akan dibuat pada Sabtu di Mahkamah Majistret Klang untuk siasatan di bawah Seksyen 377A/354 Kanun Keseksaan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum ini, suspek direman empat hari bagi siasatan yang dijalankan pihak IPD Shah Alam berhubung dakwaan memukul anaknya itu menggunakan penyangkut baju.

Pada Selasa lalu, bapa kepada pelakon remaja perempuan yang sebelum ini mendakwa diganggu secara seksual oleh suspek direman tujuh hari setelah diberkas di sebuah rumah di Kedah.

BACA: Polis tahan bapa pelakon remaja didakwa lakukan gangguan seksual

Sebelum itu, pada Isnin, pelakon remaja berusia 15 tahun membuat laporan pada jam 10.25 malam susulan mendakwa diganggu secara seksual oleh bapanya.

BACA: Bapa pelakon remaja direman lagi, didakwa pukul guna penyangkut baju

Terdahulu, media melaporkan, bapa kepada pelakon terbabit telah membuat laporan di Balai Bandar Baharu, Kedah pada Ahad susulan pendedahan dibuat anaknya di halaman perkongsian video, YouTube mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual dan penderaan bapanya semasa berusia enam tahun.

Polis mengesahkan bapa kepada pelakon remaja yang didakwa mencabul dan mendera anaknya sendiri diserahkan ke IPD Shah Alam pada Isnin bagi membantu siasatan berhubung satu laporan dibuat mangsa di sini. -Sinar Harian